Kuala Lumpur: Tujuh negeri dikesan menjadi lokasi panas penyeludupan diesel dan petrol termasuk barangan kawalan lain berikutan kedudukan geografinya.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, berdasarkan trend tangkapan dan analisis geografi, kawasan paling terdedah kepada aktiviti penyeludupan adalah negeri yang kedudukannya berhampiran dengan sempadan perairan negara jiran iaitu Indonesia, Thailand dan Filipina atau memiliki laluan sungai yang banyak ke laut.

Menurutnya, tujuh negeri itu adalah Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Johor.

"Bagi Sabah dan Sarawak, barangan yang diseludup keluar adalah diesel, petrol, minyak masak dan barangan kawalan lain di mana tahap risiko berlaku sangat tinggi berikutan kawasan itu mempunyai garisan pantai sangat panjang, pulau yang banyak dan berhampiran dengan sempadan laut Filipina serta Indonesia.