Kuala Lumpur: Hasrat seorang ahli perniagaan warga Singapura memiliki darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk' lebur selepas dia kerugian RM80,000 akibat ditipu oleh seorang lelaki tempatan, Ogos tahun lalu.

Menurut sumber, mangsa berusia 52 tahun pada mulanya mengenali suspek yang mendakwa bergelar 'Datuk' melalui seorang rakan dan mereka berjumpa buat kali pertama di sebuah hotel terkemuka di pusat bandar raya awal Ogos 2025.

"Pada perjumpaan kali kedua di hotel sama pada 14 Ogos 2025, suspek menawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan gelaran 'Datuk' kepada mangsa dengan harga keseluruhan RM300,000.

"Suspek kemudiannya meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan RM80,000 bagi tujuan memulakan urusan proses penganugerahan itu," katanya.