Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan diesel dan petrol dilihat aktif menjadikan laut sebagai 'jalan tikus' untuk menyeludup keluar bahan berkenaan dari negara.
Berbekalkan bot gentian kaca, enjin berkuasa tinggi serta beroperasi pada waktu malam, mereka bergerak pantas mengelak radar dan rondaan penguat kuasa demi mengaut keuntungan daripada setiap liter bahan api yang berjaya diseludup.
Dalam tempoh 2023 hingga Ogos lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas diesel dan petrol yang cuba diseludup bernilai RM14.94 juta sekali gus mendedahkan skala kegiatan yang masih cuba mencari ruang di sebalik kawalan ketat pihak berkuasa.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sindiket kini jarang menggunakan kapal besar, sebaliknya beroperasi menerusi bot gentian kaca, enjin berkuasa tinggi yang bergerak pantas pada waktu malam atau menyamar sebagai bot nelayan tempatan bagi mengelak dikesan oleh radar atau aset rondaan penguat kuasa.








