KUALA LANGAT – Kegiatan pemindahan kargo diesel tanpa kebenaran melibatkan kapal tangki dan bot tunda terbongkar selepas ditahan di kedudukan kira-kira satu batu nautika selatan Pantai Tanjung Rhu, pada awal pagi tadi.

Kedua-dua vesel itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu hasil risikan pihaknya selepas mengesan pergerakan mencurigakan kedua-dua vesel berkenaan.

“Hasil pemeriksaan dokumen mendapati kedua-dua vesel gagal mengemukakan dokumen kebenaran bagi menjalankan aktiviti pemindahan kargo berkenaan. Pemeriksaan turut menemukan wang tunai berjumlah RM65,000 di atas bot tunda,”
katanya dalam kenyataan hari ini.