KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sepang Datuk Noorazli Said didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan perkataan yang melukakan perasaan penganut agama Kristian semasa berucap di Perhimpuan Agung UMNO (PAU) 2026.

Bagaimanapun Noorazli, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa semasa Perhimpuan Agung UMNO 2026 telah dengan sengaja melukakan perasaan penganut agama itu yang merupakan seorang wanita apabila melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran wanita itu yang mengaitkan paderi Katolik dan biarawati.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Dewan Merdeka, World Trade Centre, Jalan Tun Ismail di sini pukul 11.20 pagi 12 September lalu.