SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima 33 aduan berkaitan dakwaan masalah kualiti petrol RON95, meningkat daripada 21 aduan sebelum ini.
Susulan pertambahan aduan berkenaan, KPDN negeri kini memperluas siasatan dengan meneliti rantaian bekalan bahan api pada peringkat awal sebelum ia sampai ke stesen minyak dan pengguna.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, langkah itu termasuk pemeriksaan terhadap aspek penerimaan, penyimpanan, pengurusan, kawalan kualiti serta proses pengedaran bahan api, tertakluk kepada skop siasatan yang dijalankan.
“Semua aduan berkenaan telah diambil tindakan dan siasatan dijalankan oleh pegawai penyiasat KPDN negeri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke depoh minyak di Perai, di sini hari ini.









