ISKANDAR PUTERI – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) melancarkan 52 lori terminal berkuasa elektrik (e-prime mover) bagi mempercepatkan usaha mengurangkan jejak karbon selain memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelabuhan hijau.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penggunaan kenderaan elektrik itu penting dalam memastikan sektor pelabuhan turut memainkan peranan mencapai sasaran sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 seperti ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Menurut beliau, agenda penyahkarbonan bukan sahaja melibatkan kapal, malah operasi di pelabuhan termasuk penggunaan lori terminal, kren dan mesin yang sebelum ini bergantung kepada bahan api diesel.

“PTP kini beralih daripada prime mover berkuasa diesel kepada elektrik dan langkah ini akan mengurangkan pelepasan karbon di peringkat operasi pelabuhan.