PETALING JAYA – Kehadiran pihak polis di sekolah menerusi Ops Didik perlu diperkukuh bagi membantu mencegah masalah disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar lebih awal.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kehadiran pihak polis secara berterusan penting dalam usaha membentuk persekitaran sekolah yang lebih selamat.

“Satu lagi yang saya beri perhatian ialah Ops Didik bersama sekolah. Kita tidak mahu polis hanya hadir apabila sesuatu kes berlaku. Kehadiran mereka di sekolah juga penting untuk memberi kesedaran dan membantu mencegah masalah disiplin serta jenayah lebih awal,” katanya menerusi media sosial, hari ini.

Beliau memaklumkan, perkara itu antara yang dibangkitkan ketika mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintenden Jay January Siowou.