TOKYO: Amerika Syarikat (AS) dan pentadbiran Myanmar mengadakan perbincangan sulit di Tokyo pada minggu lalu yang juga pertemuan kedua dalam tempoh sebulan ketika Washington mula meningkatkan semula hubungan diplomatik dengan junta tentera yang dipulaunya sejak rampasan kuasa pada 2021.
Lapor Reuters, perbincangan terdahulu di ibu negara Myanmar, Naypyitaw pada pertengahan September lalu tertumpu kepada usaha membebaskan seorang ahli perniagaan AS dan menutup pusat-pusat penipuan dalam talian yang menyasarkan warga AS.
Namun, pertemuan tersebut dipercayai boleh membuka jalan kepada perbincangan yang lebih luas, termasuk potensi deposit mineral nadir bumi di Myanmar.
Penolong Setiausaha Negara AS bagi Perisikan dan Penyelidikan, Michael Vance sekali lagi mengetuai rundingan di Tokyo yang turut melibatkan lebih belasan pegawai AS. Bagaimanapun, identiti wakil yang memimpin delegasi Myanmar tidak dapat dipastikan.









