SAKIT badan selepas bersenam, kurang tidur atau melalui minggu yang sibuk biasanya akan pulih selepas berehat.
Namun, jika rasa sakit berulang tanpa sebab jelas, sendi membengkak atau tubuh mula menunjukkan perubahan yang sukar dijelaskan, mungkin sudah tiba masanya untuk mendapatkan penilaian perubatan.
Menjelaskan hal ini, Pakar Perunding Reumatologi, Imunologi Klinikal dan Alergi, Dr Anindita Santosa, berkata penyakit autoimun dan keradangan tidak semestinya muncul dengan tanda yang jelas.
Beliau berkata, adakala ia bermula dengan gejala yang kelihatan biasa seperti keletihan, sakit otot, sakit kepala, tidur tidak berkualiti atau rasa tidak sihat yang sukar digambarkan.









