KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei menyifatkan kejayaan pemain negara minggu lalu sebagai perkembangan membanggakan yang membuktikan badminton Malaysia berada di landasan tepat.
Menurut Chong Wei, kejayaan Low Zi Yu-Genevie Lim muncul beregu wanita pertama negara yang menjuarai Kejohanan Badminton Remaja Dunia selepas penantian 34 tahun membuktikan masa depan badminton negara cerah.
Katanya, kedua-dua pemain muda itu perlu terus bekerja keras kerana perjalanan mereka masih panjang untuk mencapai kejayaan lebih besar di pentas antarabangsa.
Selain itu, Chong Wei turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Pearly Tan-M Thinaah selepas beregu wanita utama negara itu menjuarai Terbuka Denmark semalam dan itu menambah satu lagi pencapaian membanggakan buat badminton Malaysia.









