ALOR SETAR: Hanya mampu makan nasi sekali sehari dan menjamah biskut sebagai pengalas perut pada waktu malam.

Itu realiti terpaksa dilalui seorang ibu bersama lima anaknya selepas suami yang menjadi tonggak keluarga terlantar sakit akibat menjadi mangsa kemalangan langgar lari pada 31 Ogos lalu.

Siti Aliyaa Hani Abdul Rahman, 36, berkata kejadian pada malam sambutan Hari Kebangsaan itu menyebabkan suaminya Mohd Wira Zakaria, 40, koma selama sebulan berikutan kecederaan otak yang serius.

Katanya, dia pula tidak dapat keluar mencari rezeki berniaga roti canai kerana menjaga suami yang perlu diberikan susu khas setiap tiga jam dan membuang kahak dengan kerap.