PERNAH menangis dan terlintas mahu pulang ketika menjalani latihan kerana tidak tahan kepenatan, namun kata-kata ibunya supaya tidak pulang kerana sudah membuat kenduri untuk meraikan kejayaannya menjadi pembakar semangat buat pegawai bomba wanita ini.

Kini, selepas 14 tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pegawai Bomba Kanan, Nor Izni Zohid @ Mohd Dzohar, 33, bukan sahaja kekal dalam kerjaya itu, malah menjadi antara hanya dua anggota wanita yang mengendalikan motosikal berkuasa tinggi dalam Rapid Intervention Motorcycle (RIM) di Malaysia.

Ibu kepada dua anak perempuan itu berkata, pada awalnya dia sendiri tidak menyangka akan terus bertahan dalam kerjaya berkenaan kerana pengalaman ketika menjalani latihan pada 2013 cukup mencabar.