Berlin: Kabinet Jerman pada Rabu meluluskan garis panduan dasar bagi meningkatkan perlindungan kanak-kanak dan golongan muda dalam talian, termasuk larangan di peringkat kebangsaan terhadap penggunaan rangkaian sosial oleh mereka yang berusia bawah 13 tahun sehingga peraturan Eropah berkuat kuasa, lapor Anadolu Ajansi.
Langkah yang dirancang itu memberi tumpuan kepada perlindungan kanak-kanak daripada bahaya dalam talian, meningkatkan kemahiran mereka menggunakan peralatan digital dengan cekap serta menyokong penyertaan mereka dalam dunia digital. Langkah itu susulan laporan akhir suruhanjaya pakar bebas yang mengemukakan 56 syor pada bulan lalu.
"Analisis selesai, kini tiba masanya untuk pelaksanaan. Menerusi rangka kerja baharu ini, Kerajaan Persekutuan mewujudkan asas bagi memastikan kanak-kanak dan golongan muda juga dapat membesar dengan selamat serta berdikari dalam dunia digital," kata Menteri Pendidikan dan Hal Ehwal Keluarga Karin Prien dalam satu kenyataan.






