Gurun: Seramai 14 suspek termasuk dua remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Gurun, hari ini, berhubung kematian remaja lelaki yang mayatnya ditemui di Jalan Harvard, di sini, tujuh hari lalu.
Difahamkan, kesemua suspek warga tempatan berusia di antara 16 dan 24 tahun itu, akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan membunuh.
Dalam kejadian berkenaan, mangsa berusia 18 tahun ditemui orang awam di tepi jalan dengan kesan cedera di kepala dan muka.
Pada sidang media sebelum ini, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, memaklumkan remaja lelaki itu dikurung selama dua hari, selain diseksa dan digunting rambut hanya kerana dituduh mencuri motosikal.






