APABILA jerebu menyelubungi langit, bukan sahaja pernafasan menjadi sesak, malah ekonomi turut menerima tekanan.
Di sebalik udara yang tercemar, ada pekerja yang kehilangan pendapatan, peniaga yang kehilangan pelanggan dan keluarga yang terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan.
Kebiasaannya, apabila jerebu melanda, perhatian masyarakat lebih tertumpu kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), kesan terhadap kesihatan dan langkah perlindungan yang perlu diambil. Namun, satu persoalan penting sering terlepas pandang, berapakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat dan negara setiap kali jerebu berlaku?
Hakikatnya, jerebu bukan sekadar isu alam sekitar. Ia turut memberi kesan kepada kegiatan ekonomi, produktiviti pekerja dan kesejahteraan keluarga, khususnya jika keadaan berlarutan.








