KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan dan mempercepat transformasi digital negara demi manfaat rakyat serta pertumbuhan ekonomi.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik peruntukan dan inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027, yang merangkumi peluasan akses internet, pemerkasaan kesihatan digital, pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan keselamatan siber negara.

Antara inisiatif utama ialah peruntukan RM5 bilion bagi Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memperluas liputan internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.