PETALING JAYA: Sarawak berpotensi memanfaatkan kelebihan sumber tenaga hidro untuk menerajui pembangunan bandar pintar berasaskan tenaga bersih, sekali gus membuka peluang baharu dalam pembangunan hartanah mampan, infrastruktur digital dan pertumbuhan industri rendah karbon.

Pengasas dan Pengetua Pomeroy Studio, Prof. Jason Pomeroy berkata, kapasiti tenaga hidro yang dimiliki Sarawak memberikan negeri itu peluang untuk merancang bandar generasi baharu dengan menjadikan tenaga boleh baharu sebagai asas pembangunan, berbanding sekadar menambah teknologi pintar kepada infrastruktur sedia ada.

Menurut beliau, bekalan elektrik boleh baharu yang banyak membolehkan Sarawak meneroka pendekatan pembangunan bandar yang mengintegrasikan reka bentuk bangunan mampan, mobiliti elektrik, sistem tenaga teragih dan infrastruktur pintar sejak peringkat awal.