KUALA LUMPUR: Osaka berpotensi menjadi pintu masuk strategik bagi syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran Jepun yang lebih luas, didorong perkembangan industri acara perniagaan, pameran dan pelancongan serta pembangunan baharu selepas Expo 2025 Osaka.

Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, Richard Teo, berkata momentum Expo 2025 bukan sekadar mencetuskan aktiviti ekonomi dalam tempoh penganjuran, sebaliknya membuka ruang kepada pertumbuhan berterusan menerusi pembangunan infrastruktur dan kemudahan baharu di Osaka.

Beliau berkata, meskipun Jepun dan Osaka tidak menerbitkan angka rasmi mengenai nilai pasaran industri acara perniagaan atau MICE, kedudukan negara itu dalam ranking antarabangsa menunjukkan perkembangan yang jelas, khususnya dalam penganjuran mesyuarat persatuan antarabangsa.