Singapura: Tenaga Nasional Bhd (TNB) berjanji untuk menyambungkan pusat data yang telah mendapat kelulusan kepada grid elektrik dalam tempoh setahun, ketika Malaysia memperkukuh rangkaian elektrik domestiknya bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat serta meningkatkan kesalinghubungan elektrik serantau.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Ahmad Sazree Abd Aziz berkata rangkaian penghantaran dan pengagihan elektrik domestik yang kukuh amat penting bagi memastikan Malaysia dapat memanfaatkan sepenuhnya Grid Tenaga ASEAN (APG).

"APG sememangnya membantu memperkukuh keselamatan bekalan elektrik serantau. Namun, pada masa yang sama, manfaat sebenar APG bergantung pada kekuatan rangkaian domestik, khususnya rangkaian penghantaran dan pengagihan," katanya pada sesi panel bertajuk "Memperkukuh Keselamatan Elektrik melalui APG" sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) 2026 di sini hari ini.