KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak selepas menerima pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Speaker DUN Sarawak.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata tarikh mesyuarat itu belum ditentukan dan akan dimaklumkan kemudian.
"Seboleh-bolehnya kita akan menunggu pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sarawak sebelum menentukan tarikh-tarikh berkaitan, dengan mengambil kira pelbagai faktor bagi memastikan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar," katanya.
Mengulas tentang kesiapsiagaan SPR, beliau berkata persediaan awal meliputi aspek logistik, bekalan peralatan, latihan petugas pilihan raya serta pengenalpastian lokasi yang sesuai dijadikan pusat mengundi.









