Kuching: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dijangka mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Pengumuman itu dijangka dibuat pada sidang media khas yang dijadual berlangsung jam 3.30 petang di Dewan Perdana, Aras 1, Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, di sini.

Pejabat Premier Sarawak dalam surat jemputan kepada media pagi ini memaklumkan semua wakil media dijemput menghadiri dan membuat liputan sidang media khas berkenaan.

Sidang media itu dijangka berlangsung selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dijadual diadakan selepas solat Jumaat hari ini.