PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dijangka berjaya mencukupkan RM300,000 bagi membayar ganti rugi dan kos saman fitnah kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggunakan hasil jualan aset serta simpanan sendiri dan keluarga.
Menurut Akmal, motosikal Honda X-ADV kesayangannya berjaya dijual pada harga RM150,000, manakala jualan keseluruhan ikan daripada kolam ternakannya memperoleh hampir RM30,000.
“Menjadikan jumlah keseluruhan jualan kepada RM180,000. Pada masa sama, dicampur dengan jumlah simpanan saya dan keluarga, insya-Allah boleh mencukupkan kepada RM300,000 menjelang minggu hadapan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan Akmal membayar keseluruhan RM300,000 kepada Teresa berhubung saman fitnah yang difailkan pada 2024.










