KUALA LUMPUR: Tular di media sosial satu perkongsian video berdurasi tiga minit oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyentuh hati orang ramai selepas beliau tampil membantu pelajar cemerlang yang hampir terlepas peluang melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi akibat kekangan kewangan.
Asyraf Wajdi yang mengadakan lawatan ke Gerik didatangi Ketua Kampung Kuak Hulu, Mohd Nazri Md Midah atau Tok Nazri yang memaklumkan nasib seorang anak buahnya dari keluarga kurang berkemampuan.
Pelajar perempuan itu yang memperoleh keputusan cemerlang dilaporkan gagal hadir pada hari pendaftaran universiti di Selangor pada Ogos lalu berikutan kedaifan keluarga.
"Pantang sungguh saya dengar berita pelajar cemerlang yang tidak hadir pendaftaran ke universiti kerana kekangan wang," tegas Asyraf Wajdi menerusi hantaran video di Reels FB miliknya.






