KUCHING: Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak berpendapat mereka sepatutnya meraih kemenangan ketika terikat 1-1 dengan Kitchee SC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, malam tadi.
Bagaimanapun, beliau mengakui The Cats perlu lebih tajam menyudahkan peluang bagi memastikan tekanan terhadap lawan diterjemahkan kepada kemenangan.
"Saya fikir kami layak memenangi perlawanan ini," kata Aidil pada sidang media selepas perlawanan.
Aidil berkata, beliau tidak mahu memperlekeh kemampuan Kitchee, namun menegaskan pasukannya mencipta peluang dan memberikan tekanan untuk memburu jaringan.









