KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meneruskan konsolidasi fiskal, meluaskan asas cukai dan menambah baik penyasaran subsidi bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara terhadap kejutan ekonomi pada masa depan, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Pengarah Jabatan Asia dan Pasifik IMF, Krishna Srinivasan, berkata Malaysia dan Brunei merupakan dua negara ASEAN yang mengeksport tenaga dan mendapat manfaat daripada kejutan tenaga baru-baru ini.
Beliau berkata, kedua-dua negara itu turut mengekalkan disiplin dalam memastikan kestabilan harga dan integriti fiskal.
"Bagi Malaysia juga, saya berpandangan bahawa meneruskan konsolidasi fiskal, sama ada melalui peluasan asas cukai, pengurangan insentif, pengurangan subsidi atau penyasaran subsidi yang lebih baik, akan membawa manfaat," katanya pada taklimat media mengenai laporan Tinjauan Ekonomi Serantau Asia dan Pasifik terbaharu IMF yang mengemukakan unjuran terkini, analisis dan saranan dasar bagi rantau itu.









