Seremban: Kes wanita yang maut disyaki dibunuh suaminya di kediaman kakitangan kerajaan di Nilai, malam tadi, dipercayai berpunca daripada pergaduhan akibat perselisihan rumah tangga.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal mendapati mangsa, 35, ditikam, malah senjata yang digunakan turut ditemukan.
Beliau berkata, pada 9.30 malam tadi, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai menerima laporan berhubung lelaki yang menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, dan memaklumkan mengenai kematian isterinya di kompleks perumahan awam di Nilai.
"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian dan menemukan seorang wanita tempatan berusia 30-an dalam keadaan tidak sedarkan diri.








