Tokyo: Lima pesakit kanser usus di Jepun menjalani pembedahan menggunakan robot kawalan jauh sejak Ogos lalu bagi menangani kekurangan doktor dan taburan tenaga perubatan yang tidak seimbang mengikut kawasan, lapor Japan Today.
Prosedur itu dilaksanakan oleh doktor dari Hospital Universiti Hirosaki dan Hospital Besar Tsugaru, kedua-duanya terletak di wilayah Aomori di timur laut Jepun.
Dalam kaedah berkenaan, seorang doktor mengendalikan robot pembedahan dikenali sebagai 'hinotori' yang dibangunkan syarikat Jepun, Medicaroid Corp, manakala seorang lagi doktor membantu dengan mengawal robot sama dari lokasi berbeza.
Universiti Hirosaki dan Persatuan Pembedahan Jepun memaklumkan, kaedah itu adalah aplikasi klinikal pertama di Jepun bagi pembedahan robotik yang membabitkan doktor di lokasi berlainan.









