Canberra: Penemuan kamera tersembunyi di dalam kabin kapal Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Leeuwin, mencetuskan siasatan selepas dakwaan peranti seumpama itu dipasang di bilik mandi wanita di atas kapal berkenaan.
Memetik The Independent, Pasukan Pertahanan Australia (ADF) memaklumkan, peranti rakaman itu ditemukan pada Ahad lalu ketika kapal berkenaan berada di Cairns, Queensland.
Senator bebas, Jacqui Lambie, yang memperjuangkan kebajikan anggota angkatan tentera Australia, sebelum itu memberitahu Senat bahawa seorang bekas anggota tentera laut memaklumkan kepadanya mengenai kamera tersembunyi di kemudahan bilik mandi wanita kapal berkenaan.
Beliau turut mendakwa, menerima maklumat bahawa rakaman daripada kamera itu mungkin sudah dimuat naik ke internet sebelum peranti berkenaan ditemukan.









