GEORGE TOWN : Seorang wanita berusia 45 tahun cedera parah pada bahagian kepala, kaki dan tangan selepas tersepit pada tempat duduk penumpang sebuah Toyota Hilux dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di atas Jambatan Pulau Pinang, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.49 pagi itu, suami mangsa yang juga merupakan pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan pada bahagian yang sama.
Turut cedera dalam kemalangan tersebut ialah pemandu sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan iaitu Honda BRV. Bagaimanapun, lelaki berusia 38 tahun itu juga hanya mengalami cedera ringan pada bahagian kepala.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.









