PETALING JAYA: Yuran taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanak-kanak (tadika) swasta dijangka meningkat sehingga 20 peratus susulan pelaksanaan gaji minimum RM2,000 sebulan yang menambah beban kos operasi pengusaha.
Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (PTM), Elvis Gan Kah Keng berkata, kemampuan pengusaha menyerap kenaikan kos gaji bergantung pada jumlah kanak-kanak, kutipan yuran serta komitmen operasi masing-masing.
Katanya, kenaikan kos bahan mentah makanan, barangan kebersihan dan bahan pembelajaran turut memberi tekanan kepada kewangan pengusaha, sekali gus mendorong keperluan menyemak kadar yuran berdasarkan kos sebenar.
Ketika ini, yuran bulanan taska swasta dianggarkan antara RM700 hingga RM1,000, manakala tadika swasta antara RM500 hingga RM1,500 bergantung pada lokasi, kemudahan dan pakej perkhidmatan yang ditawarkan.








