KUALA LUMPUR: BYD Malaysia melantik Inokom Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Sime Motors yang berpangkalan di Kulim, Kedah, sebagai rakan pemasangan tempatan bagi merealisasikan perancangan pemasangan kenderaan elektrik (EV) menggunakan kaedah 'completely knocked-down' (CKD) di Malaysia.
Pelantikan itu diumumkan hari ini susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China, sekali gus menjadi langkah penting dalam strategi pengembangan operasi syarikat itu di pasaran tempatan.
BYD Malaysia berkata pemilihan Inokom dibuat selepas mengambil kira penilaian terhadap pasaran tempatan serta keupayaan pengeluaran syarikat berkenaan, termasuk pengalaman pemasangan kenderaan, tenaga kerja mahir dan prasarana sedia ada.










