KUALA LUMPUR: Pengguna elektrik yang mempunyai meter pintar boleh menikmati penjimatan bil menerusi program Time of Use yang diperkenalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), dengan menggalakkan penggunaan elektrik pada waktu luar puncak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, menerusi program itu, waktu puncak ditetapkan antara pukul 2 petang hingga 10 malam dari Isnin hingga Jumaat, manakala waktu luar puncak bermula pukul 10 malam hingga 2 petang keesokan harinya.
Katanya, pengguna boleh memanfaatkan tempoh luar puncak untuk menjalankan aktiviti yang menggunakan tenaga elektrik tinggi, termasuk mengecas kenderaan elektrik bagi mengurangkan kos penggunaan.
“Pada hujung minggu, semua penggunaan dikira sebagai waktu luar puncak. Jadi, TNB memperkenalkan kaedah ini kerana ramai orang berada di rumah pada hujung minggu. Banyak pendekatan yang kita laksanakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.








