KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui berdepan kesukaran mencari pengganti berkualiti bagi mengisi kekosongan jawatan ketua jurulatih beregu campuran negara yang ditinggalkan Nova Widianto sejak 31 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei berkata, usaha mendapatkan khidmat jurulatih berpengalaman terbatas apabila kebanyakan calon pilihan masih terikat dengan kontrak bersama pasukan masing-masing sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Beliau berkata, BAM sudah menghubungi beberapa calon termasuk bekas jurulatih negara, Chin Eei Hui yang kini berada di New Zealand, serta Jeremy Gan yang bertugas di Hong Kong, namun kedua-duanya masih terikat dengan kontrak masing-masing.