SYDNEY: Jumlah kes baharu demensia di seluruh dunia diunjurkan meningkat kepada 24.7 juta setahun menjelang 2050, berbanding anggaran 11.4 juta orang yang mengalami penyakit itu pada 2023, lapor Xinhua.
Kajian yang diketuai penyelidik Centre for Healthy Brain Ageing (CHeBA) di Universiti New South Wales, Australia, itu menganalisis data daripada 38,418 individu menerusi 22 kajian berasaskan populasi di 18 negara dan wilayah, menurut kenyataan pusat berkenaan, baru-baru ini.
Penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Neurology itu menyediakan penanda aras global baharu bagi memahami kadar kes demensia dalam kalangan populasi berbeza, selain membantu menjelaskan perubahan corak penyakit berkenaan di seluruh dunia.










