KEJAYAAN filem aksi tempatan, Chelot yang merekodkan kutipan RM19.5 juta membuka ruang kepada penghasilan kesinambungan cerita atau sekuel menerusi Chelot 2.
Pengarahnya, Adrian Teh mengakui angka minggu pertama membuatkan pihak produksi ketika itu tidak berani meletakkan sasaran terlalu tinggi, namun keyakinannya kembali memuncak melihat sambutan padu khalayak.
“Secara jujurnya, angka kutipan pada minggu pertama tidak begitu baik. Ketika itu kami menganggap mungkin kutipan akhir Chelot sekitar RM10 juta sahaja.
“Namun, disebabkan promosi dari mulut ke mulut dan ulasan positif penonton, kami mencatat kutipan lebih baik pada minggu kedua. Kami sangat bersyukur.
“Apabila kami melihat sambutan yang positif daripada penonton seperti ini, ketika itulah kami membuat keputusan bahawa kami boleh menghasilkan kesinambungan cerita,” katanya pada majlis penghargaan filem berkenaan, baru-baru ini.









