PETALING JAYA: Konflik berterusan di Asia Barat dijangka menjejaskan industri umrah sehingga 40 peratus pembatalan pakej bagi perjalanan pada November, Disember dan Januari depan susulan kebimbangan terhadap keselamatan jemaah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kebimbangan orang ramai menunaikan umrah meningkat susulan risiko keselamatan setelah insiden Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh dibom dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 orang terkorban manakala 300 cedera.

Katanya, malah Wisma Putra mengeluarkan nasihat agar rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Arab Saudi susulan kejadian itu.

“Bagaimanapun setakat ini belum berlaku pembatalan pakej umrah kerana konflik itu baru tercetus. Penerbangan jemaah umrah masih boleh dilakukan secara terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di Madinah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah.