SEBERANG PERAI – Kemunculan imej yang memaparkan kelibat seekor buaya di dalam saliran air di hadapan Hospital Seberang Jaya di sini mencetuskan persoalan mengenai kesahihan kehadiran reptilia itu di kawasan berkenaan.

Imej yang tular di media sosial hari ini mengundang pelbagai reaksi pengguna, malah ada yang mendakwa tidak pernah melihat kelibat buaya di lokasi tersebut sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sejurus menerima maklumat berkenaan.