KUALA LUMPUR: "Saya hampir hilang pertimbangan akibat terlalu tertekan kerana menjadi mangsa 'keldai akaun'. Niat saya hanya mahu membantu keluarga, namun tidak menyangka ia berakhir seperti ini pula."

Demikian luahan kerani syarikat swasta, Mohd Izzuddin Juppri, 38, yang mendakwa menjadi mangsa 'keldai akaun' selepas terdesak membuat pinjaman wang RM10,000 untuk menampung kos rawatan ibu dan kakaknya yang didiagnosis menghidap kanser payudara pada Februari 2020.

Mohd Izzuddin mendakwa sebagai syarat jaminan pinjaman itu, beliau dikehendaki menyerahkan kad bank miliknya.

Beliau mendakwa masih tiada menerima wang itu selepas sebulan lalu mengambil keputusan menyekat akaun banknya, namun mendapati ada lima transaksi mencurigakan.