PENDEDAHAN BH mengenai sikap ibu bapa semakin kurang menghormati guru, malah sanggup mengambil tindakan undang-undang terhadap pendidik kerana isu disiplin anak, sewajarnya mencetuskan muhasabah nasional mengenai hala tuju pendidikan negara.

Apatah lagi jika sudah sampai guru semakin takut menegur kesalahan murid kerana bimbang berdepan aduan, laporan polis atau saman, sekali gus memilih jalan selamat dengan sekadar mengajar tanpa mendidik.

Apakah sekolah mahu dilihat seperti institusi perkhidmatan dengan ibu bapa sebagai pelanggan yang sentiasa benar, manakala guru sekadar pekerja memenuhi kehendak mereka?

Kita perlu kembali menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menegaskan pendidikan sebagai usaha berterusan memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, berteraskan kepercayaan serta kepatuhan kepada Tuhan. Matlamatnya bukan semata-mata melahirkan manusia berpengetahuan dan berketerampilan, bahkan berakhlak mulia, bertanggungjawab serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.