GANDINGAN beregu lelaki baharu negara, Aaron Tai-Yap Roy King membawa ‘aura juara’ ke Terbuka Denmark dalam misi meneruskan momentum kecemerlangan selepas melakar sensasi merangkul kejuaraan Terbuka Artik di Finland, kelmarin.

Kejayaan menumpaskan pasangan ranking ke-60 dunia dari Taiwan, Lai Po Yu-Tsai Fu Cheng 21-19, 21-19 di Vantaa bukan sahaja menghadiahkan gelaran bertaraf Super 500 pertama dalam karier mereka, malah menyuntik tonik keyakinan terbaik menjelang kempen di Odense yang membuka tirai secara rasmi hari ini.

Roy King mengakui kejayaan itu amat bermakna buat mereka berdua dan sendiri masih sukar mempercayai trofi berprestij berkenaan kini berada dalam genggaman mereka.

Menerusi perkongsian di laman media sosial miliknya, pemain berusia 25 tahun itu mera­kamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terus meletakkan kepercayaan terhadap gandingan mereka.