PETALING JAYA: Bantahan terhadap pelantikan Syeikh Dr. Ali Gomaa sebagai rujukan dalam Majlis Penasihat Pondok dan Turath tidak boleh dilakukan berdasarkan pertikaian politik sebaliknya perlu dibuat secara adil berlandaskan kepakaran.
Pengerusi Nadwah Ulama dan Ilmuan Islam (NUIM) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Bashir Mohamed Al Azhar berkata, Mesir mempunyai sejarah politik panjang dan rumit.
Katanya, hubungan antara tentera, institusi agama, parti politik dan masyarakatnya tidak boleh difahami melalui satu episod sahaja, apatah lagi diukur dengan neraca politik Malaysia.
“Umat Islam boleh berbeza pandangan tentang perkembangan politik di Mesir. Namun, perbezaan tersebut tidak wajar dijadikan ukuran tunggal untuk menghukum seluruh kewibawaan seorang ulama besar yang telah berkhidmat kepada ilmu selama puluhan tahun,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.








