Kuala Lumpur: Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA) mahu memantapkan promosi dan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta pemain industri bagi meningkatkan daya tarikan ibu negara sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Presidennya, Datuk Azhar Nadzir berkata, usaha itu penting bagi mengekalkan momentum pelancongan Kuala Lumpur yang menerima kira-kira 16 juta pelawat sepanjang 2025, selain memperluas promosi produk baharu dan meningkatkan pengalaman pengunjung.

"Kita mahu terus meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan menerusi kerjasama dengan Tourism Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemain industri, selain mempromosikan produk baharu yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung," katanya ketika ditemui pada mesyuarat agung tahunan KLTA di sini, semalam.