SEREMBAN: Pimpinan dan warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengucapkan takziah kepada keluarga pegawai wanita agensi itu yang maut dipercayai dibunuh suami, awal malam tadi.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain dan warga agensi itu menerusi hantaran di Facebook AKPS mengucapkan takziah kepada keluarga pegawai berusia 35 tahun berkenaan.
Allahyarham Norhazwani Ibrahim adalah Pegawai Kastam Gred WK1 yang bertukar ke skim AKPS dan bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Pemergian beliau amat dirasai rakan sekerja dan seluruh warga AKPS. Semoga segala jasa, pengorbanan dan kebaikan Allahyarham sepanjang perkhidmatan menjadi amal jariah yang berpanjangan," katanya.








