KUALA LUMPUR: Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin percaya Hakim Danish Ramli memiliki keupayaan untuk menamatkan saingan kategori Rookie of the Year pada kedudukan lebih baik dalam Kejuaraan Dunia Moto3.

Menurut Zulfahmi, beliau cukup mengenali corak tunggangan Hakim Danish dan meskipun ketika ini berada di kedudukan ketiga, pelumba kelahiran Terengganu itu mempunyai kecenderungan untuk lebih menyerlah apabila berada dalam situasi mengejar.

Namun, Hakim Danish masih perlu memperbaiki kemampuannya untuk mengekalkan kedudukan di hadapan supaya tidak dipintas pesaing lain.

"Kadangkala, situasi mengejar lebih baik untuk Hakim Danish. Dia lebih bagus ketika mengejar berbanding ketika berada di hadapan dan mempertahankan kedudukan. Jadi, perkara itulah yang perlu kita perbaiki. Saya berharap kita dapat mengubah corak ini pada masa akan datang," kata Zulfahmi.