Putrajaya: Kegiatan lumba haram kini menjadi kesalahan khusus yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil tanpa perlu menunggu berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa, menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang berkuat kuasa hari ini.
Menerusi Seksyen 42A APJ (Pindaan) 2026, pesalah yang disabitkan atas kesalahan berlumba atau menduga kelajuan di jalan raya boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya bagi sabitan pertama.
Bagi sabitan kedua atau berikutnya, pesalah berdepan denda antara RM5,000 hingga RM20,000, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, pindaan berkenaan turut memperkenalkan Seksyen 110B bagi membanteras kegiatan tonto yang menghalang atau mengganggu operasi penguatkuasaan, termasuk mengekori kenderaan penguat kuasa dan menyalurkan maklumat operasi bagi membantu pihak tertentu mengelak tindakan undang-undang.






