IPOH: Polis menerima 73 laporan dibuat terhadap seorang kakitangan awam yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang dikaitkan dengan kes penipuan perancang perkahwinan (wedding planner) yang mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin, berkata suspek lelaki berusia 31 tahun itu sudah didakwa dengan satu pertuduhan di mahkamah pada 8 September lalu, selain berdepan tindakan dalaman termasuk ditahan kerja.
Tanpa memperincikan seksyen tuduhan yang dihadapi suspek sewaktu di mahkamah, Mohd Alwi berkata, sementara bagi laporan lain, ia diserah untuk tindakan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM), memandangkan laporan dibuat sebelum majlis perkahwinan yang dijanjikan, berlangsung.








