PETALING JAYA: Kemenangan sudah dalam genggaman, namun skuad hoki lelaki negara terpaksa mengharungi detik cemas sebelum menundukkan China 5-4 dalam aksi pembukaan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Stadium Hoki Surjit, hari ini.
Kejayaan itu memastikan Malaysia mengutip tiga mata pertama, tetapi perlawanan berkenaan jauh berbeza berbanding pertemuan di Sukan Asia Aichi-Nagoya, September lalu, apabila skuad negara membelasah China 5-0.
Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi gol padang Azrai Aizad Abu Kamal namun, China bangkit menyamakan kedudukan menerusi Wang Yaqi pada minit ke-11 sebelum Ne Moda meletakkan pasukannya di depan seminit kemudian.
Azrai Aizad kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-14 sebelum Akhimullah Anuar Esook meledak gol untuk meletakkan Malaysia di hadapan 3-2.









