Johor Bahru: Lelaki yang dipercayai terbabit kes bunuh seorang peneroka FELDA ditahan polis di sebuah kebun kelapa sawit di Kota Tinggi, hari ini.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan pada 10.26 pagi, sebelum sebilah kapak dan sebuah motosikal yang dipercayai ada kaitan dengan kes berkenaan dirampas.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas (D9) , Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi berjaya menahan suspek yang juga warga tempatan itu.
"Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.








