Serdang: Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor agromakanan perlu memanfaatkan teknologi dan kepakaran teknikal bagi meningkatkan kualiti produk, kapasiti pengeluaran serta daya saing perniagaan dalam pasaran.

Pengarah Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan MARDI, Dr Sharina Shamsudin berkata, penggunaan teknologi yang sesuai mampu membantu usahawan memperbaiki mutu produk, memastikan kualiti lebih konsisten dan meningkatkan keupayaan pengeluaran mengikut permintaan pasaran.

Katanya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyediakan khidmat nasihat teknikal, latihan, bimbingan serta pemindahan teknologi kepada usahawan mengikut keperluan dan tahap perkembangan perniagaan masing-masing.